PUSB intai perniagaan luar negara

Kosmo Online | 7 Oktober 2019 

KUALA LUMPUR – Pintas Utama Sdn. Bhd. (PUSB) bersedia menyahut saranan kerajaan menerokai pasaran bebas termasuk ke Asia Tenggara dan menjadikan Kongres Jalan Raya Dunia di Abu Dhabi sebagai platform pemasarannya.

Ketua Pegawai Eksekutif PUSB, Datuk Ir. Marhalim Mohamed berkata, sudah tiba masanya untuk syarikat ini meluaskan perniagaannya ke pasaran yang lebih besar selepas hampir 25 tahun menerajui pasaran Malaysia.

“Kami menyahut saranan kerajaan yang mahu syarikat tempatan menerokai pasaran bebas dan mengambil peluang menjadi pempamer di Kongres Jalan Raya Dunia ke-26 di Abu Dhabi.

“Ini peluang terbaik dan platform untuk kami menawarkan perkhidmatan pembaikan cerun yang efisien dan efektif kepada pasaran.

“Selepas hampir 25 tahun terbabit kerja pembinaan infrastruktur dalam negara, kami melihat peluang meneroka pasaran dunia. Ini permulaan baik bagi PUSB,” katanya yang memiliki kepakaran dalam kerja pembaikan cerun, kerja pembetungan, pembinaan jalan dan jambatan.

Sementara itu, mengulas mengenai persediaan musim tengkujuh, PUSB sentiasa memastikan kakitangannya bersedia berdepan masalah runtuhan cerun dalam cuaca tidak menentu.

“Syarikat sentiasa menilai dan melakukan pemantauan cerun yang berisiko tinggi runtuh. Ia sememangnya menjadi sandaran memandangkan syarikat ini berteraskan pembinaan infrastruktur yang mempunyai kepakaran dan teknologi dalam kerja-kerja pembaikan cerun di Malaysia,” katanya.

Marhalim menjelaskan, beberapa kawasan di pantai timur turut diberikan perhatian lebih, antaranya laluan Cameron Highlands, Lojing, Gua Musang dan Hulu Terengganu.

Katanya, dengan teknologi digunakan PUSB, ia bukan hanya memberi kemudahan ketika proses pembinaan cerun malah turut memberi nilai tambah dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.

“Kami tidak akan berkompromi soal keselamatan, syarikat menggunakan teknologi terkini dalam pembinaan dan pemantauan cerun bagi memastikan keselamatan pengguna sentiasa terjamin.

Tambahnya, PUSB menjalin kerjasama erat dengan agensi kerajaan JKR, Jabatan Kejuruteraan Cerun dan sering bertukar pandangan membabitkan cerun berisiko. Pada masa sama, sepanjang dua tahun bermula 2017, PUSB menyiapkan lebih 200 projek cerun di seluruh jalan negeri dan Persekutuan di Semenanjung.

– K! ONLINE

©2019 All Rights Reserved. Pintas Utama Sdn Bhd (301524-V)

CONTACT US

We're not around right now. But you can send us an email and we'll get back to you, asap.

Sending

Log in with your credentials

Forgot your details?