PUSB intai peluang luar negara

Utusan Online | 11 September 2019 

KUALA LUMPUR 7 Okt. – Sebagai menyahut saranan kerajaan supaya syarikat tempatan meneroka pasaran bebas di luar negara, Pintas Utama Sdn. Bhd. (PUSB) mengambil peluang Kongres Jalan Raya Dunia yang berlangsung di Abu Dhabi sebagai platform ke arah merealisasikan seruan tersebut.

PUSB merupakan sebuah syarikat yang mempunyai pengalaman dan teknologi dalam pembaikkan kawasan cerun serta pembinaan infrastruktur di negara ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PUSB, Datuk Ir. Marhalim Mohamed yang percaya sudah tiba masanya syarikat tersebut memperluaskan perniagaan ke pasaran yang lebih besar setelah hampir 25 tahun berkecimpung dan meneraju pasaran dalam negara.

Sehubungan itu, Marhalim menjelaskan, syarikat berkenaan mengambil peluang menjadi pempamer dalam Kongres Jalan Raya Dunia ke-26 di Abu Dhabi.

“Ini peluang terbaik dan platform untuk kami menawarkan perkhidmatan pembaikan cerun yang efisyen dan efektif kepada pasaran.

“Selepas hampir 25 tahun terbabit kerja pembinaan infrastruktur dalam negara, kami melihat peluang meneroka pasaran dunia. Ini permulaan baik bagi PUSB,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai persediaan musim tengkujuh tidak lama lagi, Marhalim memberitahu, PUSB sentiasa memastikan kakitangannya bersedia berdepan dengan masalah runtuhan cerun terutamanya dalam keadaan cuaca tidak menentu.

“Syarikat sentiasa menilai dan melakukan pemantauan cerun yang berisiko tinggi runtuh. Ia sememangnya menjadi sandaran memandangkan syarikat ini berteraskan pembinaan infrastruktur yang mempunyai kepakaran dan teknologi dalam kerja-kerja pembaikan cerun di Malaysia,” jelas beliau.

Marhalim menjelaskan, beberapa kawasan di Pantai Timur akan diberikan perhatian lebih, antaranya laluan Cameron Highlands, Lojing, Gua Musang, dan Hulu Terengganu.

“Di Utara pula, kawasan Wang Kelian di Perlis dan laluan Balik Pulau-Teluk Bahang di Pulau Pinang menjadi tumpuan kami. Manakala di Selatan pula, kami memberikan tumpuan kepada Kuala Pilah, Bukit Putus dan Mersing,” katanya.

Menurut Marhalim, teknologi digunakan PUSB bukan hanya memberi kemudahan ketika proses pembinaan cerun malah turut memberi nilai tambah dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.

“Kami tidak akan berkompromi soal keselamatan, syarikat menggunakan teknologi terkini dalam pembinaan dan pemantauan cerun bagi memastikan keselamatan pengguna sentiasa terjamin.

“Seiring dengan teknologi semasa, kaedah pemantauan menggunakan dron yang dilihat cekap bagi memastikan status dan kedudukan cerun selamat, secara tidak langsung boleh menjamin keselamatan pengguna jalan raya telah digunakan,” katanya.

Lebih-lebih lagi, kata Marhalim, PUSB menjalin kerjasama erat dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) , Jabatan Kejuruteraan Cerun selain sering bertukar pandangan membabitkan cerun berisiko.

Jelas beliau, sepanjang dua tahun bermula 2017, PUSB telah menyiapkan lebih 200 projek cerun di seluruh jalan negeri dan Persekutuan di Semenanjung.

– UTUSAN ONLINE

©2019 All Rights Reserved. Pintas Utama Sdn Bhd (301524-V)

CONTACT US

We're not around right now. But you can send us an email and we'll get back to you, asap.

Sending

Log in with your credentials

Forgot your details?