Pembaikan cerun: Selepas 25 tahun, PUSB intai prospek luar negara

Astro Awani | 7 Oktober 2019 

KUALA LUMPUR: Syarikat pakar keselamatan cerun, Pintas Utama Sdn Bhd (PUSB) bersedia menyahut saranan kerajaan menerokai pasaran bebas termasuk ke Asia Tenggara dan menjadikan Kongres Jalan Raya Dunia di Abu Dhabi sebagai platform pemasarannya.

Ketua Pegawai Eksekutif PUSB, Datuk Ir Marhalim Mohamed berkata, sudah tiba masanya untuk syarikat ini meluaskan perniagaannya ke pasaran yang lebih besar selepas hampir 25 tahun menerajui pasaran Malaysia.

“Kami menyahut saranan kerajaan yang mahu syarikat tempatan menerokai pasaran bebas dan mengambil peluang menjadi pempamer di Kongres Jalan Raya Dunia ke-26 di Abu Dhabi.

“Ini peluang terbaik dan platform untuk kami menawarkan perkhidmatan pembaikan cerun yang efisyen dan efektif kepada pasaran.

“Selepas hampir 25 tahun terbabit kerja pembinaan infrastruktur dalam negara, kami melihat peluang meneroka pasaran dunia. Ini permulaan baik bagi PUSB,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

PUSB memiliki kepakaran dalam kerja pembaikan cerun, kerja pembetungan, pembinaan jalan dan jambatan.

Sementara itu, kata Ir Marhalim, pihaknya sentiasa memastikan kakitangannya bersedia berdepan masalah runtuhan cerun dalam cuaca tidak menentu pada musim tengkujuh.

Jelasnya, mereka sentiasa menilai dan melakukan pemantauan cerun yang berisiko tinggi runtuh selain ia sememangnya menjadi sandaran memandangkan syarikat itu berteraskan pembinaan infrastruktur yang mempunyai kepakaran dan teknologi dalam kerja-kerja pembaikan cerun di Malaysia.

“Kita akan terus memberi fokus utama di beberapa kawasan amat berisiko sepanjang jalan persekutuan dan jalan negeri di Semenanjung.

“Beberapa kawasan di Pantai Timur juga akan diberikan perhatian lebih antaranya laluan Cameron Highlands, Lojing, Gua Musang, dan Hulu Terengganu.

“Di utara, kawasan Wang Kelian di Perlis dan laluan Balik Pulau-Teluk Bahang di Pulau Pinang menjadi tumpuan kami. Manakala pada bahagian selatan pula, kami memberikan tumpuan kepada Kuala Pilah, Bukit Putus dan Mersing,” katanya.

Ir Marhalim menjelaskan, dengan teknologi digunakan PUSB, ia bukan hanya memberi kemudahan ketika proses pembinaan cerun malah turut memberi nilai tambah dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.

“Kami tidak akan berkompromi soal keselamatan, syarikat menggunakan teknologi terkini dalam pembinaan dan pemantauan cerun bagi memastikan keselamatan pengguna sentiasa terjamin.

“Seiring dengan teknologi semasa, kaedah pemantauan menggunakan dron yang dilihat cekap bagi memastikan status dan kedudukan cerun selamat, secara tidak langsung boleh menjamin keselamatan pengguna jalan raya telah digunakan,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, kaedah manual juga tidak dilupakan ketika membuat pemantauan.

Tambahnya, PUSB menjalin kerjasama erat dengan agensi kerajaan JKR, Jabatan Kejuruteraan Cerun dan sering bertukar pandangan membabitkan cerun berisiko.

Pada masa sama, sejak 2017, PUSB menyiapkan lebih 200 projek cerun di seluruh jalan negeri dan persekutuan di Semenanjung.

“Kerajaan mengambil serius isu runtuhan cerun dan memperuntukkan lebih RM300 juta untuk menangani masalah runtuhan cerun yang kerap berlaku ketika musim tengkujuh,” katanya.

– Astro Awani

©2019 All Rights Reserved. Pintas Utama Sdn Bhd (301524-V)

CONTACT US

We're not around right now. But you can send us an email and we'll get back to you, asap.

Sending

Log in with your credentials

Forgot your details?