Kakitangan PUSB siap sedia hadapi musim tengkujuh

Sinar Harian | 7 Oktober 2019 

ABU DHABI – Pintas Utama Sdn Bhd (PUSB) sentiasa memastikan kakitangannya bersedia menghadapi masalah runtuhan cerun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu terutamanya ketika musim tengkujuh.

Ketua Pegawai Eksekutif PUSB, Datuk Ir Marhalim Mohamed berkata, sebagai sebuah syarikat berteraskan pembinaan infrastruktur yang mempunyai kepakaran dan teknologi dalam kerja-kerja pembaikan cerun di Malaysia, syarikat itu sentiasa menilai dan melakukan pemantauan cerun yang berisiko tinggi untuk runtuh.

“Kami memberikan fokus utama di beberapa kawasan yang amat berisiko seluruh jalan Persekutuan dan jalan Negeri di Semenanjung Malaysia.

“Beberapa kawasan di pantai timur turut diberikan perhatian lebih antaranya laluan Cameron Highlands, Lojing, Gua Musang dan Hulu Terengganu.

“Manakala sebelah utara pula adalah Wang Kelian di Perlis dan laluan Balik Pulau – Teluk Bahang di Pulau Pinang,” katanya yang menyertai Kongres Jalan Raya di sini malam tadi.

Beliau berkata, kawasan selatan yang diberikan tumpuan semasa musim hujan ialah sekitar Kuala Pilah, Bukit Putus dan Mersing.

Ir Marhalim berkata, sepanjang tempoh dua tahun bermula 2017, PUSB telah menyiapkan lebih daripada 200 projek cerun dan kerajaan telah memperuntukkan hingga RM300 juta bagi menangani permasalahan runtuhan cerun yang kerap berlaku.

Mengulas lanjut katanya, teknologi yang digunakan bukan hanya memberi kemudahan ketika proses pembinaan cerun malah memberi nilai tambah dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.

“Kami tidak kompromi soal keselamatan, jadi syarikat sentiasa menggunakan teknologi terkini dalam pembinaan dan pemantauan cerun bagi memastikan keselamatan pengguna sentiasa terjamin.

“Selain pemantauan manual, syarikat menggunakan kaedah pemantauan menggunakan dron yang dilihat efisien bagi memastikan status dan kedudukan cerun selamat serta menjamin keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Katanya, PUSB amat berkemahiran dalam melaksanakan dan menyampaikan projek-projek pembangunan infrastruktur dari sebarang saiz atau kerumitan bermula peringkat perancangan induk sepanjang penyiapan pembinaan.

“Kami mempunyai perancang, pakar geologi, geoteknikal dan jurutera yang mahir dalam bidang masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Ir Marhalim berkata, selepas hampir 25 tahun menerajui pasaran Malaysia dalam pembinaan infrastruktur dan kerja-kerja pembaikan cerun, PUSB mengintai pasaran Asia Tenggara dan menyertai Kongres Jalan Raya di Abu Dhabi untuk mencari teknologi baharu dan menjalinkan kolaborasi dengan syarikat luar.

Beliau berkata, sudah tiba masanya PUSB meluaskan empayar perniagaan ke pasaran yang lebih luas sesuai dengan saranan kerajaan yang mahukan syarikat tempatan meneroka pasaran bebas.

“Penglibatan syarikat kami sebagai pempamer ini juga adalah peluang terbaik untuk memasarkan perkhidmatan pembinaan cerun yang kami gunakan di negara ini kepada dunia dan merisik teknologi baharu untuk diadaptasi,” katanya.

-Sinar Harian

©2019 All Rights Reserved. Pintas Utama Sdn Bhd (301524-V)

CONTACT US

We're not around right now. But you can send us an email and we'll get back to you, asap.

Sending

Log in with your credentials

Forgot your details?